Friday, December 31, 2010

MELANGKAH KE TAHUN 2011

Tahun 2010 melabuhkan tirai.  Kini tahun 2011 melangkah datang.  Tahun demi tahun berjalan begitu pantas dan semakin hampir pula kita kepenghujung jalan dalam meniti usia diri.

Bila menghisap sendiri pun rasa bukan cemerlang prestasi diri.  Semakin takut pula rasanya.  Jadi semakin kuat azam untuk mempertingkatkan tahap keimanan dan amalan.

Sempena tahun baru, saya mahu turut mengucapkan selamat kepada semua.  Semoga kita semua dapat menghadapi tahun ini dengan lebih baik lagi.
SELAMAT
TAHUN BARU 2011

Wednesday, December 22, 2010

NAK KONGSI MASAK JUGAK LA. :)

Bila hujan-hujan dan sejuk begini, perut pun asyik lapar saja.  Takkan pula nak ulang makan nasi kan.  Baru kena masuk 'Biggest Loser' pulak nanti.  :)


Kebetulan ada la udang lagi sedikit.  Jadi dengan rasa malasnya, pergi ke dapur buat juga la cucur udang yang tak berapa nak ada udang.  Tapi makan panas-panas dengan sos cili memang rasa sedap.  Hehe.

Sudi-sudikanlah ikut makan ya. :)

Wednesday, December 15, 2010

JANGAN MENUDING SAJA, AWAK PUN SAMA

Tak habis-habis mereka ni nak menunjukkan benang basah pun boleh ditegakkan.  Benang kering sekalipun bukan senang nak tegak!

Senang kan kalau asyik mencari salah orang?  Bukan payah juga asyik nak tindih menindas apabila orang yang tergelincir rebah.  Inilah cara pemikiran orang yang singkat pandangan dan berhati serong dan atau pun busuk.

Sekarang sudah ada gambar juga menunjukkan yang UMNO pun dua kali lima juga membayar wang tambang untuk pengundi untuk pilihanraya kecil di Galas tempuhari.  Apa kes?

Hari tu berapi-api UMNO dan BN hentam PAS kerana memberi wang seumpama ini.  Siap pegawai atasan Suruhanjaya Pilihanraya memberi amaran akan mengambil tindakan!  Setakad hari ini semua pihak ini terus membisu.

Jangan mudah menuding jari kepada orang.  Cermin dulu diri di cermin yang terang dan bersih.  Cuba lihat bayang di cermin tu - satu jari tunjuk pada orang, sekurang-kurangnya tiga jari menunjuk balik tepat kepada diri sendiri.  Asyik duduk mengata orang, rupanya awak pun sama saja!

Sudah-sudahlah dengan semua sandiwara bodoh.  Tak usah buangkan banyak masa mencari siapa salah saja.  Tentu lebih konstruktif jika kita sama-sama fikirkan bagaimana nak menyelesaikan masaalah.

Monday, December 6, 2010

SALAM MAAL HIJRAH

SELAMAT
TAHUN BARU
1432 HIJRAH

Semoga kita dipanjangkan umur untuk kita sentiasa dapat memperbaiki diri untuk mencapai ke tahap terbaik.

Saturday, November 27, 2010

BERKHATAN ANAK LELAKI BERSUNAT ANAK PEREMPUAN

Cuti sekolah yang panjang seperti sekarang ini dipenuhi dengan acara berkhatan atau bersunat juga.  Budak lelaki selalunya melalui acara ini dengan penuh adat yang gemilang.  Tetapi acara bersunat untuk kanak perempuan tidak pula.

Apabila anak lelaki mereka berkhatan, ada ibu bapa yang mengadakan majlis kenduri doa selamat yang besar juga.  Malah ada kalangan yang siap dengan jemputan menggunakan kad lagi.  Kiranya memang  meriah seolah-olah seperti majlis akad nikah juga.

Jika melakukan acara bersunat untuk anak perempuan, hampir semuanya melakukan secara senyap-senyap.  Kalau ada yang diberitahu itu, mereka adalah saudara mara terdekat.

Ini memang satu kenyataan.  Mungkin kerana ramai takut anak perempuan akan berasa malu, sedangkan anak lelaki pula merasa bangga untuk memikul tanggung-jawap sebagai ketua keluarga.


Tuesday, November 23, 2010

YANG SURAM & YANG MENYINAR

Beberapa tahun lepas bintang Fahrin Ahmad begini menyinar.  Jejaka Melayu yang sasa dengan ciri-ciri unik Melayu mendapat tempat di hati ramai.

Kemudian beliau menjalinkan hubungan cinta sebelah pihak Linda Onn.  Ya la kan, beliau berkata cinta, sedang Linda Onn berkata sekadar kawan.  Tentulah perhubungan itu terputus kerana tiada kserasian.

Selepas itu beliau menjalinkan hubungan cinta dengan Scha Al Yahya.  Mulanya seperti semuanya indah dan baik.  Ramai menjangkakan ia berakhir dengan saat bahagia.  Tetapi cinta itu terputus juga.  Kali ini, apa yang terjadi adalah seperti buah yang telah membusuk.  Lebih-lebih lagi Linda Onn turut ada peranan.

Kasihan Fahrin.  Sejak itu, bintangnya seperti mula menjadi suram.  Tetapi sebaliknya bintang Scha Al Yahya menyinar terus.  Dunia seni mendukungnya dan beliau terus aktif dipersadanya.

Adakah ini akan berkekalan?  Atau adakah semuanya berbentuk sementara saja?  Hanya masa yang akan menentukan.

Tuesday, November 16, 2010


شلآمت هاري راي عيدالأضحى

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA

Maaf Zahir & Batin

Saturday, November 13, 2010

SIPUT NENAS

Hari ini rasa teringin nak makan siput sedut pulak.  Bila ke pasar tani tadi, ada pulak rezeki.  Jadi menu hari ini termasuklah siput masak lemak nenas seperti gambar di bawah.

SIPUT MASAK LEMAK NENAS

Rasa puas dengan masakan yang lemak-lemak masam manis ini.  Sebenarnya selepas dah makan dan tinggal hampir separuh baru teringat nak ambil gambar.  Hehe.

Malangnya tak ada seorang pun dari anak-anak yang suka siput ini.  Menyentuh masakan ini pun mereka tak mahu.  Jadi ayah dan ibu sajalah yang terpaksa menghabiskan sekilo setengah siput dengan separuh nenas.

Monday, November 1, 2010

MASAK KARIPAP

Karipap Pusing

Tak tahu apa nak cerita.  Alang-alang petang semalam saya buat karipap pusing, buat N3 ini saja la.  Saya tak pandai sangat, tapi kira bolehlah dari tak tahu buat langsung!  Hehe.

Banyak orang letakkan margerin pastri untuk menjadikannya berlapis-lapis.  Tetapi saya kurang gemar pulak kerana ia jadi berderai-derai dan kurang selesa untuk memakannya.

Saya menggunakan campuran minyak masak jagung dan margerin.  Rasanya masih rangup, tapi lebih lembut dan enak.

Saturday, October 16, 2010

MENOLONG MEMBAWA PADAH

Kekadang orang yang melakukan kesalahan undang-undang adalah pelaku sampingan yang kebetulan berada di lokasi  Mereka mungkin melibatkan diri secara sedar atau terlibat kerana obligasi atas ikatan darah, kawan atau pekerjaan.

Saya rasa simpati juga kepada kedua-dua pesalah yang juga pekerja di ladang tertuduh utama.  Mereka telah mengaku mengangkat, membakar dan membuang abu mayat jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya; pemandunya, Kamaruddin Shamsudin; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad itu.  Sepertinya mereka adalah juga mangsa keadaan.

Mereka insaf dan sempat memohon maaf kepada keluarga mangsa dan rakyat Malaysia kerana terlibat dalam jenayah menghilangkan bahan bukti.  Caranya adalah dengan bantu membakar mayat dan membuang abu mayat keempat-empat mangsa bagi mengelakkan tertuduh utama dalam kes pembunuhan itu dikenakan tindakan undang-undang.

Pastinya oleh kerana kemiskinan mereka bekerja di ladang kepunyaan tertuduh, dan atas tiket itu mereka turut membantu membereskan kerja yang berbentuk kriminal ini.  Kiranya ini menolong yang membawa padah kerana perbuatan mereka merupakan jenayah.

Kalau dikaji dari aspek sosial, mereka adalah mangsa keadaan.

Friday, October 8, 2010

BERPESTA MENGALAHKAN YANG BERPUASA

Bila dilihat dan direnong, ini memang kenyataan.  Ramai sungguh orang membuat rumah terbuka.  Sana sini, dan banyak yang sudah tidak tunggu hari minggu saja lagi.

Bila diamat-amati, rupanya orang-orang yang lebih-lebih beraya ini terdiri mereka yang diragui iman mereka.  Memang benar, mereka yang tak berpuasa dan ciput amalan serta cetek ilmu agama Islam yang beraya sakan!

Saya berkata tentang mereka yang saya memang kenal dan tahu.  Ada jiran, ada sahabat niaga kawan rapat.

Apa yang lebih menyedihkan lagi mereka mencemarkan 'Raya' dengan salaman dan pelukan bermaaf-maafan.  Kemudian ada minuman keras ikut disajikan juga.

Aduh!!! SEDIHNYA!

Thursday, September 30, 2010

APA NAK JADI?

Islam sudah meletakkan garis panduan apabila seseorang hendak mendapatkan pasangan hidup dan ingin berumah-tangga.  Asasnya ialah iman.  Pilihan kita mestilah dari orang yang jelas imannya.

Namun di dalam dunia sekarang memang sukar untuk melihat tanda-tanda keimanan pada seseorang.  Apatah lagi untuk mengukur tahap keimanan mereka.

Perempuan yang bertudung pun ramai tidak taat dan akur dengan hukum agama.  Ada yang memakai ikut-ikutan saja.  Bila tiba waktu solat hingga ke akhirnya mereka leka membuat aktiviti tertentu.  Begitu juga lelaki.  Cakap dan lagak baik bukan penentu perangai dan keimanan seseorang.

Jadi tidak hairanlah bermacam perkara berlaku.  Anak gadis jadi habuan bapa/saudara sendiri/tiri.  Lebih sadis lagi apabila anak kecil turut menjadi mangsa kebuasan nafsu manusia yang rakus dan jahil ini.

Saya sungguh sedih mendengar berita tentang seorang anak berusia empat tahun menjadi mangsa rogol bapa tirinya yang berjawatan guru.  Peristiwa berlaku semasa ibunya mendapat rawatan selama empat hari di hospital.  Berita ini telah disahkan oleh pihak polis daerah yang berkaitan.

Seorang guru, malah guru agama sekalipun sudah tidak boleh diharapkan lagi.  Apa nak jadi?

Friday, September 24, 2010

MEMANG RAYA SEBULAN

Hari ini ada saudara lain pula telefon nak datang beraya pada hari minggu esok.  Nak kata apa.  Memang betul Raya sebulan.

Saya nak buat lontong resipi rakan blogger ddrfauziah.  Nampak menyelerakan dan kerjanya tak susah sangat.

Yang lecenya mereka ada permintaan pula tu.  Mereka nak makan bingka ubi kayu.  Ada ke nak datang beraya nak makan bingka ubi kayu.  Aduh!

Sunday, September 19, 2010

ORANG MASIH BERAYA

Saya ingatkan hari ini nak la rehat-rehat dan pergi ke rumah terbuka yang diundang tu.  Tapi awal pagi saudara telefon kata nak datang beraya.  Aduh, potong steam betul.

Apa nak buatkan.  Mahu tak mahu kena jugalah siapkan juadah sebab mereka sudah telefon dulu.  Tak buat karang, nampak sangat macam kita tak hormatkan tetamu.

Anak kata pergi beli satay saja cukuplah.  Tetapi mereka yang nak datang tu besar keluarganya iaitu ada dalam 20 orang.  Jadi kalau sediakan makanan kenalah dalam kuantiti yang banyak.

Jadi saya putuskan untuk goreng bihun dan buat agar-agar lumut saja.  Kueh raya pun ada lagi.

Friday, September 10, 2010

HARI RAYA

شلآمت هاري راي عيدالفطري
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Umat Islam merayakan kejayaan bulan Ramadhan pada hari ini.  Sempena hari yang mulia ini, saya serta keluarga turut bergembira bersama sanak saudara di kampung halaman..  Sibuk juga melayan mereka saya datang beraya.  Sebenarnya sibuk saling bercerita! :)

Sunday, September 5, 2010

IKUT BUAT BISKUT RAYA

Mahu tak mahu, nampaknya tahun ni kena buat biskut raya sendiri jugalah.  Ikutkan rasa tu memang malas.  Tetapi biskut yang dijual mahal dan tak sedap.  Saya beli dua jenis tempuhari, RM 40 tiap satu balang yang berisi dalam 40 biji biskut.  Anak tak dapat habiskan sebiji pun.

Oleh kerana mereka tidak gemar dengan biskut yang dibeli tu, mereka turut membantu buat kueh hari ni.   Sekaligus, kita orang buat tiga jenis, bermula sejak selepas solat Subuh tadi.  Kira-kira cukuplah untuk hidangan Hari Raya nanti kerana kawan telah janji untuk menjual satu jenis biskutnya juga.

Anak-anak kata nanti kita cuma buatkan kek dan ketupat serta rendang saja.  Banyak kerja juga tu!

Sunday, August 22, 2010

WABAK MAKAN LUAR

Dari dulu pun kaum lelaki suka makan luar.  Bezanya sekarang mereka mempunyai pelbagai pilihan: hendak makan yang murahan yang mudah didapat, atau hendak yang eksklusif yang ada kelas!

Nampaknya kemajuan dan pembangunan membawa arus perubahan juga di dalam kancah dosa yang besar ini.  Lebih ramai yang berani melakukan dosa secara terang-terangan.  Sesetengah tempat elit tu sepertinya mendapat perlindungan.

Tentunya mereka yang terdorong ke arah ini adalah mereka yang tiada beriman atau amat tipis sekali tahap keimanan mereka.  Jika ada bibit keimanan, takkan mungkin mereka akan melanggar larangan Allah SWT yang nyata.

Selain itu rasa amat tidak logik bila seseorang itu sanggup membelanjakan wang ringgit yang banyak di tempat-tempat yang penuh dengan ruang-ruang dosa.  Tambahan pula sarang-sarang dosa ini menjadi tempat singgah semua golongan umur, termasuk yang sudah tua bangka yang sering diseru datang oleh kubur.

Kalau diperhatikan wabak makan keluar dan gejala sosial ini juga amat menular dan serious.  Mereka mengalami kerosakan akhlak dan sukar meninggalkan kemungkaran.

Jika semua orang sedia terima kenyataan, ramai dari kalangan ini adalah orang Melayu.  Ada dari kalangan tegar ini malah berani mengaku bahawa, 'malangnya saya dilahirkan seorang Melayu ... Islam dipaksakan kerana kelahiran itu!'

Wednesday, August 18, 2010

PROMOSI MELALUI SMS

Di bulan puasa ni nampaknya macam-macam promosi tentang produk dan perkhidmatan  melalaui sms di handphone.  Letih la membuka baca dan memadamnya.  Lepas tu datang sms baru pulak lagi.

Nampaknya carrier Celcom & Maxis memang beri nombor handphone kita kepada pihak ketiga untuk lebih mengkayakan mereka.  Kira macam 'breach of trust' la.

Sepatutnya ada peruntukan undang-undang khusus untuk menangani masaalah ini.


Wednesday, August 11, 2010

RAMADHAN BULAN YANG MULIA

Sempena bulan Ramadhan Al Mubarak yang mulia ini, marilah kita sama-sama memanafaatkan sebaik mungkin.  Semoga tahun ini kita akan dapat melakukan ibadah dengan lebih baik lagi.

Tentulah paling utama kita mesti memperbaiki iman dan aqidah kita.  Elokkan syahadah kita dan baiki solat kita juga.  Kemudian barulah kita berusaha melakukan ibadah-ibadah sunat yang termampu untuk kebaikan di SANA.


Selamat berpuasa dan selamat melakukan ibadah-ibadah lain juga.

Friday, August 6, 2010

NAIK TURUN

Ada berita yang mengatakan satu undian telah dibuat untuk menguji tahap populariti Rosyam Nor, iaitu satu-satunya selebriti yang begitu gah hinggalah pada akhir-akhir ini.  Dakwaan bahawa populariti aktor ini sudah merudum semakin gah pulak.

Jadi timbul pertanyaan di kalangan peminat seni tanahair adakah benar Rosyam Nor sudah mula hilang peminat?  Hasil statistik itu memang menunjukkan popularitinya sudah jauh merosot.

Tetapi itu memang satu hakikat kehidupan.  Tidak ada satu orang pun yang akan berada di kemuncak selamanya.  Bahkan hidup akan berakhir dengan kematian juga.  Memang naik dan turun itu satu lumrah.

Monday, August 2, 2010

ASTRO ULANG-TAYANG & ULU-TAYANG LAGI

Apa la malangnya nasib pengguna di Malaysia  ni.  Terlalu banyak sangat  badan koprat dan syarikat gergasi yang mendapat hak monopoli dalam urusan dan perkhidmatan mereka.

Rakyat Malaysia memang tidak ada pilihan  di atas perancangan dan perlaksanaan dasar negara yang berkaitan dengan nasib kita sendiri.  Pemerintah yang bertanggung-jawap memberi kuasa ini kepada korprat dan syarikat tertentu.  Ada apa-apa habuan ke?  Kebajikan rakyat diremehkan!

Bengang betul dengan gelagat Astro yang asyik mengulang-tayang segala ulang-tayang yang sudah beberapa kali dilakukan.  Lepas disiarkan di satu saluran, di ulang-tayang lagi berkali-kali.  Kemudian ditayangkan pula di saluran lain.  Apa punya opportunis!

Wednesday, July 28, 2010

SATU MENUDING EMPAT TERTUDING

Saya rasa muak juga dengan taktik UMNO dan BN serta Ibrahim Ali yang cuba memaparkan seperti merekalah sebagai penjuang rakyat dan penjuang bangsa.  Sedangkan hakikatnya rakyat semakin resah dan gelisah dan bangsa semakin berpecah.

Tadi saya baru baca N3 blogger Ddrfauziah yang memberi gambaran bersabit masaalah kita .  Saya rasa beliau menyuarakan suara ramai lagi di luar sana.  Memang semakin sehari nampak orang Melayu cuba dipecahkan lagi menjadi puak-puak yang kecil.  Lama-lama nanti tidak mustahil akan hilang keberkesanan Melayu.

Kata Ezam, senator baru UMNO, dalam ceramahnya, "Kalau kita ada maruah, seharusnya kita bangkit mempertahankan kedaulatan (negari kita) dan menyahkan Anwar Ibrahim dari negeri Selangor,"

Itu sajakah agendanya sekarang?  Setiap kali menuding jari ke arah manusia bernama 'Anwar Ibrahim' ni.  Tetapi apa yang jelas, setiap kali menuding satu jari ke arah Anwar, empat jari lagi sedang menuding kepada dirinya dan diri UMNO sendiri.

Friday, July 23, 2010

MUSIBAH TAK DISANGKA

Hari ini saya sekeluarga mengalami satu peristiwa pahit.  Saya ingin bercerita sekadar untuk menghilangkan rasa sedih, dan juga semoga ini dapat dijadikan satu pengajaran.

Petang tadi saya membuangkan cincin perkahwinan dari jari tangan dan meletakannya di meja makan kerana mahu mengeluarkan bahan beku dari peti sejuk untuk buat lauk makan malam.  Suami saya pula meninggalkan beg tangan saya di meja yang sama.

Di dalam menguruskan sedikit kerja dapur tu saya tidak begitu mengambil perhatian tentang beg tangan dan cincin yang diletakkan di atas meja.  Tetapi setelah selesai, ketika saya mahu mengambil cincin dan beg, saya dapati cincin saya sudah tiada.  Saya ingatkan suami saya membawanya naik ke bilik.  Jadi saya terus saja naik ke bilik.

Saya menjadi gelabah dan resah apabila suami saya memberitahu beliau tidak membawanya naik.  Malah memang benar beliau turut meletakkan beg tangan saya di meja juga.  Kami sama-sama bergegas turun, mencari di meja dan juga di bawahnya kalau-kalau tergolek jatuh.  Masa itu saya tidak terlintas pun untuk memeriksa beg juga.

Ketika kejadian tadi tu, hanya anak jiran yang datang meminta daun pandan dan masuk ke dalam rumah sekejap.  Pembantu rumah pergi ke pasar malam bersama anak perempuan saya untuk membeli sedikit barang dapur.

Saya bertanya kepada anak jiran, tetapi katanya dia tidak nampak cincin saya.  Ibunya sudah mengherdik kerana mensabitkan anaknya.

Tetapi yang jelas cincin itu hilang.  Kemudaian baru saya sedar duit saya sebanyak RM 500 dalam kepingan nilai RM 100 juga hilang.

Memang tidak baik untuk mesyakki orang.  Namun hakikatnya, pada masa itu hanya anak jiran saja yang ada bersama saya di ruang dapur di mana meja makan berada.

Wednesday, July 21, 2010

SISTEM TERGANGGU HUJAN PETIR

Sistem internet yang di pasang di Malaysia sekarang ni tak sesuai kerana Malaysia selalu saja hujan, ribut dan petir.  Begitulah ikut penerangan orang bijak pandai dalam ilmu internet dan fizik-fizik ni.

Kita yang tak pandai ilmu-ilmu teknikal dengar saja.  Tapi logiknya tu memang betul saja.  Setiap kali hujan astro hilang dan internet pun hilang.  Kalau hujan lebat dengan guruh dan petir, lagi lama tak ada perhubungan.

Pelek juga, syarikat pembawa ni tak kan la tah tahu.  Kalau dah tahu kenapa guna sistem ini.  Ada pilihan lain pun, kenapa tak guna?

Kita memang geram!  Tetapi mereka buat tak tahu juga.  Pengguna Malaysia asyik kena ikut saja!  Terbalik dengan luar negara yang mementingkan pengguna!

Saturday, July 17, 2010

SEBAB SUKAN MALAYSIA MELESET

Seorang anak watan yang benar-benar nasionalis bersemangat sukan akan memastikan sukan negara bergerak maju ke depan.  Tetapi apa yang berlaku ialah disebaliknya.

Kalau kita menilai krisis bersabit pemecatan jurulatih Harimau Muda dan penolongnya, jelas nampak 'attitude' mereka yang mempunyai kuasa di FAM.  Apapun cerita sebenarnya, yang nyata lagi bersuluh ialah mereka yang mentadbirkan sukan negara adalah mereka yang tidak tulen bersemangat sukan dan tidak komited kepada mutu sukan.

Sejak badan-badan sukan diterajui oleh kerabat dan ahli politik serta mereka dari kelompok ini, sukan Malaysia terus menerus meleset.  Bolasepak yang suatu ketika dulunya mengharumkan negara, kini menjadi skuad pameran yang tidak mampu ke persada dunia.  Badminton juga turun naik prestasi mereka.

Usah dibanggakan dengan kegemilangan Datuk Nicole David dalam sukan squash.  Beliau berhempas pulas berada di puncak dahulu sebelum negara mengiktiraf bakat dan dedikasinya.  Sekarang mereka ambil nama di atas kejayaannya di persada dunia.  Sungguh menjengkelkan.

Friday, July 9, 2010

DOA DI BULAN REJAB DAN SYAABAN

Kita sudah diakhir bulan Rejab.  Bulan Rejab ialah bulan Allah SWT.  Digalakkan untuk berpuasa sunat tanda kesyukuran sekurang-kurangnya sehari.  Jadi bagi yang belum melakukannya, gunakan kesempatan beberapa hari ini untuk puasa sunat.  Di samping itu berzikir dan bertahmid juga.

Bulan Syaaban pula ialah bulan Nabi Muhammad SAW.  Disunatkan juga kita untuk berpuasa.  Juga kita perbanyakkanlah selawat Nabi.

Di kedua-dua bulan kita disarankan memanjatkan doa memohon semoga kita dipanjangkan umur dan berjumpa dengan bulan Ramadhan.  Sabda Rasulullah SAW, "Bulan Ramadhan ialah bulan umatku."

Wednesday, June 30, 2010

SEDIH TAK BERKEMBANG

Saya rasa sedih sebab tak ramai pun bloggers yang mahu jadi pengikut dan kawan saya.  Hanya sebilangan kecil saja yang sudi.  Sudah masuk berbulan tapi masih tak berkembang juga.

Agaknya blog saya tidak menarik.  Saya memang tak pandai berhias sangat, dan di waktu yang sama saya memang suka yang simple.

Kepada yang telah singgah  dan buat blogwalking tu harap sudi tinggal komen untuk saya dapat memperbaiki.  Saya dahulukan dengan ucapan berbanyak terima kasih.

Wednesday, June 23, 2010

ARTIS INDONESIA JUGA RIBUT

Artis popular Indonesia iaitu Ariel Peterpan telah dikaitkan dengan klip aksi video lucah bersama Luna Maya.  Nampaknya berita ini menjadi semakin panas.

Ariel 'Peterpan'

Luna Maya

Petang semalam Ariel diberitakan menyerah diri kepada polis gara-gara tersebarnya video aksi seks buatan sendiri yang melibatkan dirinya dengan dua selebriti wanita Indonesia.  Tindakannya adalah ikutan kenyataan polis yang menamakan dirinya sebagai suspek yang melanggar undang-undang anti-ponografi.

Adegan seks di dalam video berkenaan dikatakan melibatkan beliau dengan teman wanitanya sekarang iaitu Luna Maya dan bekas teman wanitanya Cut Tari.  Aksi itu tersebar meluas melalui internet di Indonesa.

Ariel berkemungkinan akan dipenjara kerana beliau dikatakan merupakan punca sebaran video berkenaan.  Sementara Cut Tari katanya boleh juga dipenjara kerana berzina sedang dia isteri orang.

Cerita ribut artis bukan saja di Malaysia.  Artis Indonesia juga ribut.

Friday, June 18, 2010

BULAN REJAB

Salam hari Jumaat.  Hari ini masuk awal ke Maya ni sebab berebut laptop dengan anak.  Dah cuti sekolah ni dia orang pula yang 'monopolize' seharian.

Nak panjangkan pesanan sajalah.  Sekarang telah masuk bulan Rejab, bulan Allah.  Bulan ini dilebihkan ganjaran pahala dan nikmat.

Jadi antara amalan yang mudah untuk kita ialah untuk memperbanyakkan membaca Al Quran dan berpuasa sunat.

Saturday, June 12, 2010

TAHAP KESELAMATAN MENAKUTKAN

Akhir-akhir ini sepertinya di mana-mana pun keadaannya adalah tidak selamat untuk orang ramai.  Sudah sering pula orang awam diserang hingga ke tahap fatal.  Mangsa menjadi korban serangan di tempat-tempat awam seperti restoran.

Tahap keselamatan di bandar di tempat terang dengan ramai orang pun berlaku jenayah.  Bila membaca berita terkini tentang pelayan restoran yang ditembak mati dari jarak dekat, ia adalah sesuatu yang menakutkan.

[Jika ingin mengetahui tentang peristiwa itu teruskanlah membaca selanjutnya.]

Monday, June 7, 2010

GEMBIRA ARTIS

Aziz M Osman & Puteri Lily Selepas Akad Nikah

Akhir-akhir ni banyak sangat cerita-cerita negatif dan tidak menyenangkan mengenai artis.  Jadi adalah satu perubahan angin yang baik bila mendengar berita tentang perkahwinan Aziz M Osman dan pertunangan Jimmy Shanley dengan pasangan masing-masing.

Semalam Aziz M. Osman, 48, pengarah filem yang tersohor di abad kini, selamat diijabkabulkan dengan pelakon baru, Puteri Lily, 21, atau nama sebenarnya Puteri Sarbainun Lokman di Masjid Negara.  Walaupun Puteri Lily muda setahun daripada anak sulung Aziz, tetapi Aziz dan bapa mertuanya yakin Puteri Lily adalah seorang yang matang.

Puteri Lily adalah anak kepada pengarah teater, Lokman Abd. Ghani.  Semua yang berkenaan yakin perhubungan ini adalah petanda baik.  Semoga begitu hendaknya.

Sementara itu Jimmy Shanley pula diberitakan akan mengikat tali pertunangan dengan gadis pilihannya.  Walaupun berita ini masih belum resmi tapi ada sumber sudah mendapat kad jemputan ke majlis pertunangan Jimmy seperti di gambar bawah ini.

Kad Jemputan Jimmy

Majlis itu nanti akan diadakan pada hari Jumaat ini di Sungai Buloh, Selangor.  Bakal tunangannya ialah Suhaila Eliani Datuk Suhaimy. Suhaila dikatakan anak kepada seorang pengasas produk kecantikan yang popular.

Sama-samalah kita mendoakan kedua-dua pasangan artis kesayangan ramai ini.  Selamat kepada Aziz M Osman dan Jimmy Shanley serta pasangan mereka masing-masing.

Monday, May 31, 2010

KEJAMNYA REJIM ISRAEL

Kita dikejutkan dengan berita bahawa konvoi keselamatan ke Palestin yang masih di dalam perairan antarabangsa telah diserang awal pagi ini waktu kita.  Ini adalah petikan berita terkini mengenai misi bantuan Palestin yang saya petik dari berita on-line dari saluran AFP:

BANDAR GAZA 31 Mei – Sekurang-kurangnya 15 terbunuh, kebanyakan mereka rakyat Turki, apabila tentera laut rejim Israel menyerang flotila kapal bantuan kemanusiaan ke Palestin, kata badan kebajikan Turki, IHH yang terlibat dalam penganjuran bantuan tersebut.

Mohammed Kaya, yang mengetuai cawangan IHH di sini, berkata: “Lima belas orang terbunuh dalam serangan tersebut, kebanyakan mereka warganegara Turki.”

 Kenapa misi yang hanya membawa bekalan barang keperluan diserang oleh rejim Israel.  Telah berkali-kali ditegaskan bahawa tiada senjata api dan seumpamanya di dalam kapal berkenaan.  Aneh juga tiada wakil CNN dan BBC di dalam misi itu.

Yang jelas Israel telah mencabuli hak asasi kemanusiaan.

Thursday, May 27, 2010

AL FATIHAH UNTUK P RAMLEE

Mungkin saya di antara berjuta yang amat kagum dengan Allahyarham P Ramlee.  Legenda yang begitu unik dengan keistimewaannya yang  tersendiri.

Saya sentiasa terbayang wajahnya.  Tentu sekali saya suka lagu-lagunya dan filem-filemnya.  Walaupun filemnya ditayang berulang kali dan lagunya diputar berkali, saya tetap suka dan teruja.  Terima kasih diatas segala jasa memberi sinar kepada hidup ramai rakyat Malaysia serta Singapura juga.

Beberapa hari lepas saya berkunjung ke rumahnya yang dijadikan Pustaka Peringatan P Ramlee bersama-sama anak-anak.  Saya masih terpegun dengan semua hasil kerjanya.  Sekali ini saya amat tertarik dengan potrait beliau semasa berumur 18 tahun serta potrait bersama Allahyarhamah Saloma seperti di bawah.

P Ramlee Di Usia 18 Tahun

Pasangan P Ramlee & Saloma

Selepas Subuh hari ini genaplah 37 tahun Allahyarham meninggal dunia.  Beliau meninggal selepas solat Subuh pada 27 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun.

Marilah kita sama-sama sedekahkan Yassin dan Al Fatihah kepadanya.  Semoga Allah SWT cucuri rahmat ke atas rohnya. Amin, amin, amin.

Monday, May 24, 2010

IKAN BELUT

Hari ini baru tahu laksa Perlis menggunakan ikan belut untuk membuat kuahnya.  Ingatkan orang saja-saja buat cerita saja supaya ramai orang tak makan.  Rupa-rupanya betul.

Setelah bertahun-tahun makan laksa ini, baru hari inilah saya tahu yang sebenarnya laksa itu menggunakan belut.  Aduh!  Tapi kira sedap la ikan belut ni.  Namun, jika dihidangkan ikan belut, sudah pasti saya tak makan.

Sudah berapa kali kawan saya yang anaknya menuntut di Jepun memberikan saya snek ikan belut yang 'ready-to-eat' itu.  Saya tak pernah rasa pun kerana geli.  Suami saya yang habiskan.

Sekarang baru saya percaya juga dengan kenyataan bahawa ikan belut lemak.  Agaknya ada rasa seperti ikan haruan.

Wednesday, May 19, 2010

MACAM-MACAM JADI

Saya rasa rindu pula.  Dah hampir dua minggu rasanyer saya tak berkesempatan bersama-sama di Maya ini.  Macam-macam perkara yang berlaku.

Pertama sekali modem saya rosak.  Tunggu mereka datang mengecek pun sampai tiga hari.  Selepas itu rupanya masaalah ini berpunca dari wiring yang telah rosak.  Panggil technician pula dua tiga hari baru dapat datang.

Selepas wayar dan modem dah OK, PC pulak ada masaalah.  Ada kerosakan CPU akibat daripada kejutan kerosakan modem dan wiring katanya.  Tambah lagi dua tiga hari.

Minggu ini pula, ibu saya telah jatuh sakit.  Terpaksa pula berulang-alik ke Hospital kerana Mak masuk Wad. 

Alhamdulillah, hari ini beliau telah dibenarkan pulang.  Mak sudah kembali sihat.  Tetapi beliau dah berumur, jadi kelihatan seperti lemah.  Kak Long bawa balik ke rumahnya.

Jadi hari ini ada barulah ada masa dan ruang untuk ke sini. :)

Wednesday, May 5, 2010

TUKAR WAJAH KEPALA

Saya minta maaf jika pilihan gambar yang menghiasi kepala blog saya tempuhari ada menyinggung sesiapa.  Pohon ribuan maaf kerana saya pun tidak tahu bahawa itu adalah gambar yang sensitif dari tempat yang tidak sesuai untuk kita.  Terima kasih yang tidak terhingga di atas nasihat dan perhatian kakak blogger, DDrfauziah.

Sebenarnya hari ini baru saya berpeluang ke sini.  Dua hari lepas saya agak sibuk sedikit.  Jadi saya hanya tahu tentang keadaannya hari ini.

Saya telah pun berusaha mencari gambar hiasan yang lebih sesuai.  Sekarang wajah kepala blog saya sudah bertukar kepada gambar tentang pemandangan di negara kita sendiri.

Sebenarnya, saya mahu menggunakan imej yang berlatar-belakangkan KLCC tetapi gambar yang ada agak kabur.  Jadi, cari punya cari, saya ambil keputusan menggunakan gambar Genting Highlands ini.  Sekurang-kurangnya untuk masa sekarang ini.

Monday, May 3, 2010

CERITA DI MINDA

Di dalam kepala ini ada macam-macam cerita.  Tinggal nak ambil yg mana satu saja.  Agaknya itulah masaalah sebenar saya kerana tak pandai nak berkata-kata, apalagi nak terjemahkan dalam bentuk tulisan.

Harap-harap lama kelamaan saya akan semakin lancar membuat nukilan di sini.  Kata kawan blogging akan segera membuat saya terbiasa.  Semoga begitulah hendaknya.


Saturday, May 1, 2010

KE MAYA

Saya sudah berhasrat untuk turut bersama di Maya di hari ini, hari pekerja.  Bukan apa, sekadar senang untuk nak mengingatkan tarikhnya nanti.  Hehe.
 
Harap-harap saya boleh mendapat kawan untuk bertukar fikiran dan pandangan.  Paling saya inginkan untuk dapat bercerita dan meluahkan rasa dan perasaan saya.  Kata kawan, di sini kita boleh menjadi diri kita atau mencari apa yang diinginkan.  Tetapi pesannya juga, kita harus bertanggung-jawap dan jaga tata-susila.
 
Insya Allah, semuanya akan berjalan dengan baik, amin.