Monday, May 31, 2010

KEJAMNYA REJIM ISRAEL

Kita dikejutkan dengan berita bahawa konvoi keselamatan ke Palestin yang masih di dalam perairan antarabangsa telah diserang awal pagi ini waktu kita.  Ini adalah petikan berita terkini mengenai misi bantuan Palestin yang saya petik dari berita on-line dari saluran AFP:

BANDAR GAZA 31 Mei – Sekurang-kurangnya 15 terbunuh, kebanyakan mereka rakyat Turki, apabila tentera laut rejim Israel menyerang flotila kapal bantuan kemanusiaan ke Palestin, kata badan kebajikan Turki, IHH yang terlibat dalam penganjuran bantuan tersebut.

Mohammed Kaya, yang mengetuai cawangan IHH di sini, berkata: “Lima belas orang terbunuh dalam serangan tersebut, kebanyakan mereka warganegara Turki.”

 Kenapa misi yang hanya membawa bekalan barang keperluan diserang oleh rejim Israel.  Telah berkali-kali ditegaskan bahawa tiada senjata api dan seumpamanya di dalam kapal berkenaan.  Aneh juga tiada wakil CNN dan BBC di dalam misi itu.

Yang jelas Israel telah mencabuli hak asasi kemanusiaan.

Thursday, May 27, 2010

AL FATIHAH UNTUK P RAMLEE

Mungkin saya di antara berjuta yang amat kagum dengan Allahyarham P Ramlee.  Legenda yang begitu unik dengan keistimewaannya yang  tersendiri.

Saya sentiasa terbayang wajahnya.  Tentu sekali saya suka lagu-lagunya dan filem-filemnya.  Walaupun filemnya ditayang berulang kali dan lagunya diputar berkali, saya tetap suka dan teruja.  Terima kasih diatas segala jasa memberi sinar kepada hidup ramai rakyat Malaysia serta Singapura juga.

Beberapa hari lepas saya berkunjung ke rumahnya yang dijadikan Pustaka Peringatan P Ramlee bersama-sama anak-anak.  Saya masih terpegun dengan semua hasil kerjanya.  Sekali ini saya amat tertarik dengan potrait beliau semasa berumur 18 tahun serta potrait bersama Allahyarhamah Saloma seperti di bawah.

P Ramlee Di Usia 18 Tahun

Pasangan P Ramlee & Saloma

Selepas Subuh hari ini genaplah 37 tahun Allahyarham meninggal dunia.  Beliau meninggal selepas solat Subuh pada 27 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun.

Marilah kita sama-sama sedekahkan Yassin dan Al Fatihah kepadanya.  Semoga Allah SWT cucuri rahmat ke atas rohnya. Amin, amin, amin.

Monday, May 24, 2010

IKAN BELUT

Hari ini baru tahu laksa Perlis menggunakan ikan belut untuk membuat kuahnya.  Ingatkan orang saja-saja buat cerita saja supaya ramai orang tak makan.  Rupa-rupanya betul.

Setelah bertahun-tahun makan laksa ini, baru hari inilah saya tahu yang sebenarnya laksa itu menggunakan belut.  Aduh!  Tapi kira sedap la ikan belut ni.  Namun, jika dihidangkan ikan belut, sudah pasti saya tak makan.

Sudah berapa kali kawan saya yang anaknya menuntut di Jepun memberikan saya snek ikan belut yang 'ready-to-eat' itu.  Saya tak pernah rasa pun kerana geli.  Suami saya yang habiskan.

Sekarang baru saya percaya juga dengan kenyataan bahawa ikan belut lemak.  Agaknya ada rasa seperti ikan haruan.

Wednesday, May 19, 2010

MACAM-MACAM JADI

Saya rasa rindu pula.  Dah hampir dua minggu rasanyer saya tak berkesempatan bersama-sama di Maya ini.  Macam-macam perkara yang berlaku.

Pertama sekali modem saya rosak.  Tunggu mereka datang mengecek pun sampai tiga hari.  Selepas itu rupanya masaalah ini berpunca dari wiring yang telah rosak.  Panggil technician pula dua tiga hari baru dapat datang.

Selepas wayar dan modem dah OK, PC pulak ada masaalah.  Ada kerosakan CPU akibat daripada kejutan kerosakan modem dan wiring katanya.  Tambah lagi dua tiga hari.

Minggu ini pula, ibu saya telah jatuh sakit.  Terpaksa pula berulang-alik ke Hospital kerana Mak masuk Wad. 

Alhamdulillah, hari ini beliau telah dibenarkan pulang.  Mak sudah kembali sihat.  Tetapi beliau dah berumur, jadi kelihatan seperti lemah.  Kak Long bawa balik ke rumahnya.

Jadi hari ini ada barulah ada masa dan ruang untuk ke sini. :)

Wednesday, May 5, 2010

TUKAR WAJAH KEPALA

Saya minta maaf jika pilihan gambar yang menghiasi kepala blog saya tempuhari ada menyinggung sesiapa.  Pohon ribuan maaf kerana saya pun tidak tahu bahawa itu adalah gambar yang sensitif dari tempat yang tidak sesuai untuk kita.  Terima kasih yang tidak terhingga di atas nasihat dan perhatian kakak blogger, DDrfauziah.

Sebenarnya hari ini baru saya berpeluang ke sini.  Dua hari lepas saya agak sibuk sedikit.  Jadi saya hanya tahu tentang keadaannya hari ini.

Saya telah pun berusaha mencari gambar hiasan yang lebih sesuai.  Sekarang wajah kepala blog saya sudah bertukar kepada gambar tentang pemandangan di negara kita sendiri.

Sebenarnya, saya mahu menggunakan imej yang berlatar-belakangkan KLCC tetapi gambar yang ada agak kabur.  Jadi, cari punya cari, saya ambil keputusan menggunakan gambar Genting Highlands ini.  Sekurang-kurangnya untuk masa sekarang ini.

Monday, May 3, 2010

CERITA DI MINDA

Di dalam kepala ini ada macam-macam cerita.  Tinggal nak ambil yg mana satu saja.  Agaknya itulah masaalah sebenar saya kerana tak pandai nak berkata-kata, apalagi nak terjemahkan dalam bentuk tulisan.

Harap-harap lama kelamaan saya akan semakin lancar membuat nukilan di sini.  Kata kawan blogging akan segera membuat saya terbiasa.  Semoga begitulah hendaknya.


Saturday, May 1, 2010

KE MAYA

Saya sudah berhasrat untuk turut bersama di Maya di hari ini, hari pekerja.  Bukan apa, sekadar senang untuk nak mengingatkan tarikhnya nanti.  Hehe.
 
Harap-harap saya boleh mendapat kawan untuk bertukar fikiran dan pandangan.  Paling saya inginkan untuk dapat bercerita dan meluahkan rasa dan perasaan saya.  Kata kawan, di sini kita boleh menjadi diri kita atau mencari apa yang diinginkan.  Tetapi pesannya juga, kita harus bertanggung-jawap dan jaga tata-susila.
 
Insya Allah, semuanya akan berjalan dengan baik, amin.